SEJARAH
SEKOLAH
Sejarah Sekolah Kebangsaan Bekoh
bermula pada tanggal 6 Januari 1952, dimana orang-orang Kampung Bekoh telah
bermufakat bergotong-royong untuk mendirikan sebuah sekolah yang terdiri
daripada bangunan kayu dan beratap zing di atas sebidang tanah seluas 0a, 2r
16.8p.Pada ketika itu sekolah-sekolah kampong dikenali dengan nama Sekolah
Rakyat. Sekolah ini pada asalnya terletak di tepi Sungai Chohong dengan saiz
bangunan selebar 60 x 20 kaki persegi. Bagi permulaannya sekolah ini hanya
mempunyai seramai 44 orang murid dengan 2 orang guru.
Memandangkan sekolah ini terletak di
tepi sungai dan sering kali dilanda banjir maka pada 7 Oktober 1956, bangunan
sekolah ini telah dipindahkan ke kawasan lain di atas sebidang tanah lot
bernombor 3437 iaitu tanah rizab padang permainan seluas 1a, 1r, 0p.
Jumlah murid pada tahun 1962 telah
mencapai 100 orang. Bangunan sekolah yang sedia ada tidak dapat menampung
pertambahan bilangan murid yang belajar. Pada tahun 1968 bangunan sekolah yang
lama telah digantikan dengan bangunan sekolah yang baru mengandungi bilangan 4
unit bilik darjah. Seterusnya pada 6 Januari 1981, sekolah ini telah mendapat
satu bangunan tambahan yang mempunyai u unit bilik darjah dan telah diserahkan
kepada pihak sekolah setelah selesai kerja pembinaannya. Pihak sekolah juga
telah mendapat satu bangunan kantin baru yang telah dibina pada penghujung
tahun 1988.
Pada tahun 1999, sebuah blok
bangunan baru 4 tingkat telah siap dibina yang mana di bangunan tersebut
mengandungi bilik-bilik kelas, bilik-bilik khas seperti Bilik Perpustakaan,
Bilik Muzik, Bilik Guru, Bilik Mesyuarat, Bengkel Kemahiran Hidup, Bilik Makmal
Sains, Bilik Pengurusan Sukan dan Bilik SPBT. Pada tahun 2003 dua bilik darjah
telah diubahsuai menjadi Bilik Komputer.
Pada masa ini bilangan pelajar di
sekolah ini masih lagi berada di paras bawah dari 150 orang. Sekolah ini juga
mempunyai Bilik Prasekolah yang mempunyai 20 hingga 25 orang murid , seorang
guru serta seorang Pembantu Pengurusan Murid.
Kebanyakan murid-murid yang belajar
di sekolah ini, datangnya dari beberapa buah kampong-kampung kecil seperti
Kampung Bekoh, Kampung Dok, Taman Pemanis Bekoh, Ladang Bekoh dan Perkampung
Orang Asli di Kampung Tanah Gembor yang terletak di kaki Gunung Ledang. 75%
murid yang belajar di sekolah ini terdiri daripada kaum Melayu dan 25% lagi
terdiri daripada murid-murid kaum Bumiputera Asli dan kaum yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan